Featured Content, Uncategorized

TITAH MENGENCANGKAN ‘SKRU-SKRU’ PEMBANGUNAN NEGARA YANG LONGGAR

LIMBARUH HIJAU 5 MAC 2018: PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) menjunjung kasih Ke Hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas kurnia titah di Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Keempat Belas MAJLIS MESYUARAT NEGARA 2018 pagi tadi yang padat, bernas dengan mesej yang cukup jelas.

hm_mmn14a

NDP penuh berharap titah baginda sultan yang menjurus ke arah mengetatkan ‘skru-skru’ yang longgar dalam perlaksanaan program pembangunan negara dapat dihayati dan dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh semua pihak berkepentingan terutama Jemaah Menteri-Menteri Kabinet, elit-elit pentadbir termasuk pihak-pihak berkenaan di sektor swasta.

Titah baginda sultan pagi tadi berkisar lima isu penting yang perlu diperbetulkan oleh pasukan Menteri Kabinet yang baru dibentuk berikutan pembubaran mengejut pasukan lama yang dibayangi dengan masalah integriti.

Pertama, pengurusan fiskal yang seimbang antara keperluan berjimat cermat dengan keperluan untuk pertumbuhan ekonomi yang dapat menyumbang ke arah meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kedua keperluan memajukan dengan bersungguh-sungguh bukan ikut mood, bidang pertanian khusunya industri padi untuk sara diri, ketiga hasrat pembruneian industri minyak dan gas yang belum kesampaiaan, keempat isu kebersihan alam sekitar dan kelima ketirisan dalam perlaksanaan akta-akta yang telah diperkenalkan.

BERJIMAT TAPI JANGAN SAMPAI MENJEJASKAN PERTUMBUHAN EKONOMI

Tentang pengurusan fiskal yang seimbang antara keperluan berjimat cermat dengan keperluan untuk pertumbuhan ekonomi yang dapat menyumbang ke arah meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) baginda sultan bertitah, “sebagai sebuah negara yang masih bergantung kepada hasil minyak dan gas, Negara Brunei Darussalam perlu terus aktif mempelbagaikan ekonomi”.

“Ini adalah wajar berdasarkan harga minyak dunia sering sahaja dilihat tidak menentu walaupun permintaan global meningkat dan harga minyak mulai pulih pada kadar yang mengalakkan. Namun pertumbuhan ekonomi tetap sahaja diramal masih pada paras yang rendah”.

“Lalu kerana itu, kita perlu terus mengawal imbangan fiskal negara dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang”, titah baginda sultan.

Tetapi, titah baginda, ini sahaja tidak memadai.

Titah baginda lagi langkah berjimat memang baik dan terpuji, tetapi semata-mata berjimat tanpa ada usaha ke arah pertumbuhan adalah satu sikap yang tidak dapat diterima.

“Disamping berjimat, kita juga mesti mengembeling tenaga bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar. Brunei perlu meneroka bidang yang tidak dapat diabaikan lagi. Pastikan ianya ditangani dengan berkesan sehingga berhasil’, titah baginda sultan.

JANGAN SAMBIL LEWA MEMAJUKAN BIDANG PERTANIAN

Tentang keperluan memajukan dengan bersungguh-sungguh bukan ikut mood, bidang pertanian khusunya industri padi untuk sara diri baginda bertitah;

“Beta sudah pun menyebut berkali-kali bidang pertanian. Bidang ini sangatlah mendesak untuk disegerakan bukan bergerak ikut mood, tetapi bergerak demi keperluan”, titah baginda.

Negara, titah baginda menekankan, adalah sangat-sangat memerlukannya.

“Sudah sampai masanya untuk Brunei berdikari dalam permakanan khasnya berdaya upaya untuk menyara diri sendiri dengan makanan asasi iaitu beras. Usahakanlah dia sampai berhasil’, titah baginda menyentuh isu keselamatan permakanan yang sehingga kini perlaksanaan dasarnya belum cukup meyakinkan baginda dan rakyat.

SALAH PASANG SKRU DALAM PEMBRUNEIAN INDUSTRI MINYAK DAN GAS

Berkenaan dengan hasrat pembruneian industri minyak dan gas yang belum kesampaiaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan bertitah menyeru agar siasatan dan kajian dibuat untuk membetulkan masalah ini yang diumpamakan baginda semacam salah pasang skru.

Titah baginda, “berbalik lagi mengenai sumber minyak dan gas, tidaklah cukup setakat berbangga mempunyai sumber ini, tetapi yang penting ialah pengurusannya, cara kita mengurusnya. Pengurusan adalah segala-galanya”.

“Penemuan sumber minyak di negara ini, telahpun mencecah umur hampir satu abad. Dalam usianya yang sepanjang itu, orang-orang Brunei sepatutnya sudah lebih matang dalam pengurusan. Tetapi malang kenyataannya masih tidak sampai ke tahap itu. Bahkan terlalu masih lebih jauh daripada apa yang diharapkan”, tegas baginda sultan.

Menurut banginda adapun untuk mendapatkan khidmat konsultan atau pekerja luar adalah sesuatu yang biasa diamalkan, tetapi ini bukanlah bererti untuk selama-lamanya.

Baginda seterusnya bertitah bahawa sedang konsep belajar dan menimba pengalaman tetap terbuka kepada anak-anak tempatan tetapi ia lambat untuk berhasil sehingga setakat untuk menduduki jawatan Pengarah Urusan pun menurut baginda kita susah apatah lagi jawatan-jawatan yang lebih tinggi.

“Beta kurang yakin anak-anak tempatan kita tidak mempunyai kebolehan langsung berdasarkan kalau orang lain boleh kenapa kita tidak boleh dan kalau orang lain boleh mendapat ilmu dan pengalaman mengapa kita tidak”, tegas baginda lagi.

“Beta ragu selama ini kita mungkin sahaja salah pasang skru makanya kita mesti mencari apa yang salah itu dan membetulkannya”, titah baginda.

KETIRISAN DALAM PENGUATKUASAAN AKTA-AKTA

Isu kebersihan alam sekitar dan ketirisan dalam perlaksanaan akta-akta yang telah diperkenalkan juga tidak terlepas dari perhatian baginda sultan dalam titah di Majlis Perasmian MMN ke-14 itu.

Titah baginda,”Pembangunan tidak akan berjalan lancar sekiranya peraturan-peraturan dan undang-undang tidak dilaksanakan dengan sempurna. Kerana itu, langkah menguatkuasakan peraturan dan undang-undang amatlah perlu”.

Adalah tidak wajar, titah baginda, untuk selalu-selalu ketirisan dalam melaksanakan akan undang-undang dan peraturan.

“Dalam sidang kabinet baru-baru ini, beta ada menyebut mengenai kepembersihan Brunei dariapada sampah dan kotoran. Beta diberitahu bahawa akta mengenainya sudah pun sedia ada dengan diperuntukkan denda tertentu”.

“Mana-mana orang atau syarikat didapati membuang sampah ditempat-tempat awam boleh dikenakan kompaun tidak melebihi $500. Kerana itulah ada orang yang didenda cuma $100 atau $200 sahaja”.

Titah baginda, “Kita masih belum pasti tentang kesempurnaan perlaksanaan akta ini, selain juga masih meragui adakah denda sebanyak $100 atau $200 itu mampu untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat khasnya kepada para pesalah berkenaan”.

Baginda bertitah menambah,”Begitu juga seperti Akta Rokok dan lain-lain, ada kah ia sudah benar-benar dikuatkuasakan atau masih berlaku ketirisan mengenainya. Semua ini memerlukan perhatian dan kajian oleh pihak-pihak yang berkaitan”.

“Kita tidak mahu orang mempersendakan akta kerana kelemahan kita. Ada akta sahaja belum memadai tanpa ianya dilaksanakan. Perlaksanaanlah harga bagi sesuatu akta”, tegas baginda.

Dalam titah tersebut baginda juga menluahkan hasrat untuk melihat di dalam dewan yang mulia ini semua ahli-ahli akan terlibat memberikan pendapat dan pandangan tanpa takut-takut atau ragu-ragu demi kepentingan bersama. (MHO)

Leave a comment