Featured Content, Uncategorized

Jangan Biarkan Titah Tentang Zakat, Kemiskinan Laboi-Laboi

junjung_ziarah2018LIMBARUH HIJAU 19 JUN 2018: PRESIDEN Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah meluahkan rasa terkilan kenapa titah baru-baru ini tentang isu memperkasa pentadbiran zakat semacam tidak mendapat sambutan dari pihak-pihak berkenaan dalam jentera kerajaan mahupun dari kalangan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.

“Saya hairan kenapa titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berhubung isu pentingnya memperkasa pentadbiran zakat seperti tidak mendapat sambutan ‘hangat’ dari kalangan pihak-pihak yang berkaitan”.

“Saya tidak terbaca atau pun mendengar sebarang kenyataan dari pihak-pihak tertentu tentang tindakan-tindakan segera yang bakal diambil sebagai menyokong titah arahan baginda tersebut”, ujar saudara Malai Hassan Othman di Majlis Ramah Mesra Hari Raya NDP kelmarin.

1junjung_ziarah2018c

“Titah semacam dibiarkan laboi-laboi. Ahli-ahli Yang Berhormat yang sepatutnya mewakili kepentingan rakyat di Majlis Mesyuarat Negara pun sanyam. Tidak ada seorang pun yang terdengar menyuarakan sokongan ke atas titah tersebut yang jelas menggambarkan kekecewaan baginda tentang kelemahan pentadbiran zakat di negara ini”, tambah beliau.

“Pengamal media perdana pun semacam tidak berupaya memainkan peranan untuk ‘follow up’ dan ‘follow through’ titah tersebut sebagai memberikan sokongan kepada raja”.

Baginda sultan dalam titah sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an bagi tahun 1439H/ 2018M pada hari Jumaat 16hb. Ramadhan 1439H bersamaan 1hb Jun 2018M, tambah beliau, telah dengan jelas menyatakan supaya pentadbiran zakat diperkasa terus, semua cara dan strategi menanganinya dikemaskan.

1junjung_ziarah2018b

“Baginda Sultan mahu pihak yang berwajib mencari kaedah terbaik untuk membanteras kemiskinan dengan zakat, sehingga, penerima-penerima zakat akan dapat berdikari, tidak lagi menerima zakat tetapi menjadi pengeluar zakat”, ujar saudara Malai Hassan Othman.

1junjung_ziarah2018a

Beliau menambah lagi, Baginda Sultan tidak akan membuat kenyataan tersebut jika sekiranya sistem pengurusan zakat yang sedia ada sudah berada di tahap yang baik dan memuaskan serta isu kemiskinan yang hanya melibatkan bukan pun sampai beratus ribu manusia dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Malang sungguh malang! Bukan pertama kali isu sedemikian pernah dititahkan. Negara pernah pada suatu ketika berada di kedudukan sifar miskin dalam sekelip mata sahaja berikutan teguran keras baginda tentang kumpulan wang zakat yang berlambak tidak diagihkan kerana amanah Allah itu terperangkap dalam sistem birokrasi dunia”, keluh beliau.

“Kita tidak hairan jika saranan tentang isu yang sama datang dari NDP tidak diendahkan”, ujar beliau sambil menjelaskan bahawa NDP dalam Manifesto 2006 – 2016, dalam ucapan-ucapan presiden-presiden yang terdahulu dan sekarang serta melalui usul-usul yang diangkat di kongres-kongres agung tahunan parti sejak 13 tahun yang lalu sudah banyak kali menyentuh perkara yang sama.

Antaranya ialah:

1- Usul agar diadakan kajian bertujuan mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan Baitul Mal dengan mengambilkira ijtihad terkini dan kontemporari ulama-ulama tersohor ke arah memartabatkan institusi Baitul Mal demi kepentingan ummah di dalam dan di luar negara;

2- Usul agar dilaksanakan sistem pemungutan dan agihan zakat mengikut kaedah yang lebih efektif di mana dengan sistem tersebut dan melalui peruntukan undang-undang dan penggunaan teknologi, dipastikan bahawa mereka yang wajib mengeluarkan zakat akan melunaskannya tanpa gagal dan mereka yang berhak akan menerimanya mengikut lunas-lunas syarak.

Presiden NDP juga meluahkan rasa sedih menyaksikan Baginda Sultan terpaksa turun padang dan turun tangan untuk menyelidiki sendiri isu pendidikan sekolah Arab yang mana seperti isu zakat, sudah sekian lama gagal diperbaiki ke tahap yang lebih cemerlang.

1junjung_ziarah2018

Beliau membuat kenyataan-kenyataan tersebut dengan hasrat meningkatkan kesedaran ahli-ahli NDP terutama barisan kepimpinan parti tentang peranan NDP dalam melaksanakan tanggungjawab politiknya sebagai rakan strategik kepada Baginda Sultan dan Kerajaan Baginda.

“Setiap tahun kita tanpa gagal, sama ada ramai atau sedikit, akan terus ikut serta dalam Majlis Junjung Ziarah ke hadapan Majlis KDYMM Baginda Sultan dan kerabat-kerabat baginda”,

“Kita ikut serta bukan sekadar budaya atau sebagai acara tahunan parti sahaja tetapi lebih dari itu ia merupakan peluang kita merafakkan sembah ta’at setia kepada Baginda Sultan dan sebagai tanda syukur ke hadrat Allah atas kurniaNya kepada Negara dengan seorang raja yang pengasih dan penyayang dan ulil amri yang terus berusaha memimpin rakyat dengan petunjuk Allah”.

“Ia juga merupakan peluang kita selaku warga NDP untuk terus istiqamah dalam usaha menjaga dan memelihara hubungan baik dan mesra dengan istana selain ia juga merupakan satu ruang dan peluang untuk keluarga besar NDP mengeratkan silaturrahim antara kita”, jelas beliau di Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri NDP yang berlangsung di Limbaruh Hijau, Markas Pusat NDP di Jerudong.

SISTEM ZAKAT EFISYEN DI ZAMAN RASULULLAH

Sementara itu izinkan penulis mengongiskan sedikit maklumat tentang bagaimana sistem zakat di zaman rasulullah dan para sahabat dapat diurus dengan cekap dan berkesaan.

Menurut riwayat  ketika hayatnya, Nabi Muhammad SAW tidak pernah menyimpan harta zakat walaupun hanya semalam. Baginda akan segera menghabiskan harta itu dengan diagihkan kepada mereka yang layak, iaitu para asnaf zakat, khususnya fakir dan miskin.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Syafie, Ummul Mukminin Saiyidatina Aishah r.ha melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menukilkan: “Lazimnya habuan zakat (yang tidak dikeluarkan dan dibiarkan) bercampur dengan mana-mana harta, (maka ia tidak memberikan kebaikan) melainkan ia akan membinasakan harta itu.

Akhlak nabi itu telah diteladani oleh Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq.

Saat Abu Bakar wafat, dilaporkan hampir tiada lagi harta zakat yang disimpan di sebuah bilik di rumahnya, kerana semuanya sudah diagihkan kepada orang yang memerlukan.

Kemudian, apakala Saiyidina Umar al-Khattab pula menjawat jawatan khalifah, wilayah kekuasaan Islam semakin melebar. Jazirah Arab dan kawasan sekitarnya seperti Hijjaz, Syria (Syam), Iran (Parsi), Mesir dan Palestin telah diterokai. Era itu dinamakan sebagai era futuhat, iaitu pembukaan negeri-negeri baharu.

Umat Islam bertambah ramai. Zakat kian meningkat. Maka, Baitulmal melimpah-ruah dengan harta. Sama ada daripada sumber jizyah, kharaj, faie, usyur, ghanimah dan pastinya ia adalah zakat.

Lalu, Saiyidina Umar al-Khattab kala itu telah menetapkan satu polisi, iaitu seluruh harta yang dimasukkan ke dalam Baitulmal hendaklah dihabiskan agihannya pada penghujung tahun.

Rupa-rupanya, apa yang telah dicorakkan oleh Rasulullah SAW dan para khulafa ur-Rasyidin itu adalah batu asas kepada kecekapan agihan zakat. Natijahnya jelas, iaitu demi memastikan setiap mereka yang berhak dan wajar dibantu diberikan haknya sesingkat waktu.

Wallahu wa’alam bisawab.

 

 

Leave a comment