Perkhidmatan Awam Mesti Bersih Dari Penyakit Akhlak, Etika, Salah Guna Kuasa

LIMBARUH HIJAU 24 NOVEMBER 2017: Perkhidmatan Awam merupakan nadi utama yang menentukan kemajuan dan keutuhan sesebuah negara justeru ia perlu sentiasa berada di dalam keadaan sihat dan bebas dari virus yang dibawa oleh penjawat-penjawat awam yang bersifat mazmumah.

HM_perkhidmatan_awam1

Apa pun inisiatif, kaedah atau pendekatan yang digunapakai dalam usaha memantapkan keberkesanan perkhidmatan awam namun semuanya tidak akan menjadi jika terdapat masalah kesihatan spiritual dan mental dikalangan penjawat-penjawat awam yang merupakan penggerak kepada nadi tersebut.

Untuk itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menekankan pentingnya mengambil kira faktor-faktor kerohanian, akhlak dan etika bagi warga Perkhidmatan Awam.

“Pada hemat Beta, semua inisiatif yang disusun di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam tidak akan sempurna tanpa mengambil kira faktor-faktor kerohanian, akhlak dan etika bagi warga Perkhidmatan Awam”, titah baginda.

“Warga Perkhidmatan Awam yang baik ialah mereka yang berkhidmat dengan jujur dan amanah, bukan yang cekap tetapi curang”, titah baginda lagi di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-24 pada Rabu 22 November baru lalu. Majlis berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Tegas baginda, kecekapan tidak akan bernilai apa-apa jika ia digunakan untuk menganiaya manusia.

“Kalau siapa diberikan kuasa, maka kuasa itu adalah amanah, tidak boleh digunakan sewenang-wenang, seperti untuk kepentingan diri sendiri atau untuk menjejaskan orang lain, sekalipun yang terjejas itu hanya sekadar ‘nama baik’ sahaja”.

“Ini adalah penting. Beta tidak mahu di dalam Perkhidmatan Awam ada orang yang menyalahgunakan kuasa, atau tukang-tukang fitnah atau tukang-tukang cipta fitnah. Ini semua, tidak mendatangkan sebarang kebaikan, melainkan sebaliknya banyak mengundang kepada keburukan. Perkhidmatan Awam mesti bersih daripada semua ini, barulah negara dan kerajaan akan beroleh berkat”, titah baginda lagi.

BERPASUKAN BUKAN BEKOMPLOT

Baginda Sultan seterusnya menyentuh isu tentang kerja berpasukan.

“Beta pernah mendorong supaya mengamalkan semangat berpasukan, lebih-lebih lagi bagi warga Perkhidmatan Awam, kerana kerja-kerja yang dibuat secara berpasukan itu boleh mendatangkan lebih kebaikan”.

“Tetapi apabila disebut berpasukan, ia bukanlah satu “pakatan”, dalam makna komplot atau kronisme. Komplot atau kronisme biasanya mempunyai ketua untuk mengontrol ahli-ahli kumpulan berkenaan, tetapi pasukan bukan begitu. Sifat pasukan adalah semata-mata muafakat dan mesyuarat. Semua ini perlu dibezakan”, tegas baginda.

PERKHIDMATAN AWAM NADI UTAMA KEUTUHAN NEGARA

Sementara itu baginda sultan dalam titah yang sama mengambil maklum bahawa Jabatan Perdana Menteri sebagai agensi utama dalam memimpin Perkhidmatan Awam sedang giat melaksanakan Rangka Kerja Perkhidmatan Awam itu.

“Salah satu transformasi yang telah dikenalkan mulai 1 Oktober 2017 ialah Sistem Pengurusan Prestasi Baru bagi semua warga Perkhidmatan Awam. Matlamat utamanya adalah jelas, iaitu untuk membolehkan penilaian hasil kerja setiap pegawai dan kakitangan adalah adil, telus dan objektif, serta mencerminkan sumbangan sebenar masing-masing”.

“Pada hemat beta, memang sesuai sistem penilaian memberikan tumpuan kepada Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) di samping Penilaian Kompetensi,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi.

Dalam hal itu, baginda seterusnya bertitah menyeru setiap warga Perkhidmatan Awam untuk benar-benar mengambil serius dalam melaksanakan Sistem Penilaian Prestasi Baharu ini mengikut garis pandu yang telah ditetapkan.

Kebawah DYMM turut melahirkan kepercayaan, sistem baharu itu juga akan lebih menyumbang kepada produktiviti dan daya saing dalam memberikan perkhidmatan yang berkesan dan berkualiti serta menggalakkan inovasi sebagai budaya kerja.

Menyebut mengenai inovasi warga Perkhidmatan Awam, titah baginda, tidak boleh tidak, perlu menjana idea-idea baharu bagi memacu penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.

Di sinilah, tegas titah Kebawah DYMM, pemimpin-pemimpin Perkhidmatan Awam dari peringkat Setiausaha Tetap, ketua jabatan malahan peringkat ketua unit perlu memainkan peranan mereka dalam melakukan rebiu semula ke atas tatacara atau proses pemberian perkhidmatan.

“Beta percaya kejayaan akan lebih menyerlah lagi apabila berlaku penyertaan yang meluas dari seluruh lapisan Perkhidmatan Awam. Budaya inovasi ini juga boleh menjadi penggalak kepada pelaburan asing bagi kemanfaatan ekonomi.

USAHA MENAMBAHBAIK EKONOMI 

Bercakap mengenai ekonomi, baginda mengambil maklum usaha kerajaan ke arah penambahbaikan pada setakat ini, telah pun menampakkan tanda-tanda positif.

Baru-baru ini, Laporan Bank Dunia mengenai Ease of Doing Business bagi tahun 2018 telah menyatakan kedudukan negara sebagai terus meningkat kepada 56 anak tangga dari kedudukan 105, tiga tahun sebelum ini. Negara kita juga terus diiktiraf sebagai satu ekonomi yang paling meningkat atau ‘most improved’ dalam melaksanakan reformasi bagi tiga tahun berturut-turut. Lebih membanggakan lagi, satu petunjuk iaitu ‘Getting Credit’ telah meraih tangga kedua tertinggi di dunia,” jelas baginda sultan.

Pencapaian yang menggalakkan ini titah Kebawah DYMM, adalah bukti jelas keberkesanan kepimpinan dan pendekatan ‘whole of nation’.

Baginda turut melahirkan keyakinan bahawa persekitaran perniagaan di negara ini akan dapat dipertingkatkan lagi sehingga mencapai anak tangga 20 teratas atau ‘Top-Twenty’ yang disasarkan.

Leave a comment