Kesal Dengan Tindakan Megiktiraf Jerusalem Ibu Negara Israel

LIMBARUH HIJAU 10 DISEMBER 2017: MAJLIS TERTINGGI PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) bimbang dengan keadaan keamanan dan keselamatan di Timur Tengah dan dunia pada amnya berikutan tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

jerusalemkonfrontasi

“Kita kesal dengan tindakan Presiden AS tersebut. Langkah tersebut akan meletakkan rantau Timur Tengah bahkan dunia di ambang konflik baharu. Langkah itu juga akan memburukan lagi keadaan di Palestine yang telah menderita sejak sekian lama”, tegas TYT Presiden NDP Saudara Malai Hassan Othman ketika membahaskan isu tersebut di sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi NDP kelmarin Sabtu 9 Disember.

Sesi muzakarah berlangsung di Anjung Syura Limabruh Hijau, Markas Pusat NDP di Jerudong. Di sesi tersebut ahli-ahli Majis Tertinggi meluahkan rasa gusar tentang isu tersebut dan meminta TYT Presiden memberikan pandangan dan pendirian NDP tentangnya.

“Kita mengambil maklum hampir semua negara di dunia telah membantah keputusan AS tersebut. Ia merupakan pelanggaran banyak resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (BB) terutama keputusan Majlis Keselamatan PBB pada 23 Disember 2016 melalui Resolusi 2334 yang mengatakan pendudukan Israel ke atas Jerusalem Timur tidak sah”.

“Ia juga bercanggah dengan persetujuan badan dunia tersebut bahawa status Jerusalem hendaklah diputuskan bersama dalam perundingan antara Palestine dan Israel berkaitan solusi dua negara”.

“Kita juga turut kesal dengan tindakan Presiden AS tersebut yang jelas tidak menghormati keputusan badan antarabangsa dan mengabaikan perasaan jutaan orang Islam seluruh dunia. Bagi kita umat Islam, Baitulmaqdis dan Masjd Al Aqsa merupakan tempat suci dan destinasi Nabi Muhammad S.A.W semasa Israk dan Mikraj. Tidak mungkin umat Islam akan menerima ianya dijadikan milik Israel”, ujar Presiden NDP sambil menambah bahawa isu Baitulmaqdis bukan sahaja isu orang Islam, tetapi isu kemanusiaan yang menyangkut pendudukaan Israel secara haram di wilayah Jerusalem Timur.

TYT Presiden NDP seterusnya berharap agar pentadbiran AS mempertimbangkan semula langkah tersebut yang hanya akan menjejaskan lebih teruk lagi imej dan kredibiliti AS sebagai anggota dalam proses perdamaian antara Palestine dan Israel.