Brunei, Malaysia Perkukuh Hubungan

  • MoU Bidang Pelancongan
  • Perjanjian Rangka Kerja Antara Kerajaan Brunei dan PETRONAS
  • Birokrasi di sempadan Brunei, Lawas Akan Dikurangkan
  • Laluan Baharu BSB-Limbang

LIMBARUH HIJAU 24 NOVEMBER 2017: HUBUNGAN erat antara Negara Brunei dan Malaysia terus diperkukuh.

Terkini kedua-dua buah negara telah memeterai hubungan yang baik tersebut dengan penandatanganan satu Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua Perjanjian Rangka Kerja.

MoU terbaru di antara Kerajaan Kebawah DYMM dan Kerajaan Malaysia ialah bagi Kerjasama dalam Bidang Pelancongan manakala 2 perjanjian baru melibatkan Perjanjian-Perjanjian Rangka Kerja Unitisasi di antara Kerajaan Kebawah DYMM, bagi pihak Sekretariat Unitisasi Kebangsaan dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Sementara itu difahamkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah menerima baik cadangan Malaysia untuk mewujudkan laluan baharu dari Bandar Seri Begawan ke Limbang.

Laluan baharu tersebut akan melibatkan jajaran Limbang dan Lawas di Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan. Ianya akan diselaraskan dengan laluan Jambatan Temburong yang sedang dibina oleh Kerajaan Brunei Darussalam.

Pelaksanaan laluan baharu Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Bandar Seri Begawan dan Limbang di Sarawak dijangka akan memendekkan masa perjalanan, memudahkan perhubungan serta merancakkan ekonomi penduduk tempatan.

Turut dibincangkan di Rundingan Tahunan Ke-21 di antara Pemimpin-Pemimpin Negara Brunei Darussalam dan Malaysia yang berlangsung di Bandar Seri Begawan pada 23 November kelmarin ialah masalah birokrasi di sempadan. Difahamkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersetuju agar proses memberi kelulusan imigresen yang melibatkan keperluan cop pada pasport sebanyak tujuh kali untuk laluan sehala merentasi Brunei ketika ini dikurangkan kepada hanya sekali cop ketika masuk dan sekali lagi semasa keluar.

najib_sultan

Sementara itu dalam satu Kenyataan Bersama yang dikeluarkan pada Rundingan Tahunan Ke-21 di antara Pemimpin-Pemimpin Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak menyambut baik hubungan dua hala dan pertumbuhan yang ketara di antara kedua-dua buah negara dalam isu politik, ekonomi dan strategik berdasarkan nilai dan tradisi kedua-dua buah negara.

Kenyataan Bersama itu menjelaskan, kedua-dua pemimpin berikrar untuk memupuk hubungan ekonomi di antara Brunei dan Malaysia ke arah mewujudkan lagi peluang bagi rakyat kedua-dua buah negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengalu-alukan penyertaan Malaysia dalam Pelaburan Langsung Asing bagi bidang halal, teknologi inovatif dan industri kreatif, perkhidmatan perniagaan, pelancongan, minyak dan gas.

Kedua-dua pemimpin turut melahirkan keyakinan bahawa kerjasama tersebut akan memberi kebaikan bersama untuk rakyat kedua-dua buah negara dan berasa gembira dengan kemajuan berterusan yang dibuat oleh PETRONAS dan Petroleum Brunei dalam Commercial Arrangement Areas (CAA) dalam Blocks CA1 dan CA2, Production Sharing Arrangement dalam Block N dan juga kerjasama mereka di Kanada dan Myanmar.

Usaha tersebut menandakan komitmen organisasi dua buah negara untuk memperluas lagi kerjasama pada masa hadapan dalam memastikan pengeluaran gas di negara ini.

Di dalam Kenyataan Bersama tersebut juga menyatakan kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan pelancaran The ASEAN Direct Communications Infrastructure (ADI) pada 24 Oktober tahun ini semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Clark, Filipina yang dapat memudahkan Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN untuk terus memupuk kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Kedua-dua pemimpin seterusnya berpuas hati dengan peningkatan jumlah ketibaan pelancong antara kedua-dua buah negara. Baginda juga menyatakan, Malaysia merupakan sumber pelancong terbesar di negara ini.

Kebawah DYMM turut menghargai sokongan Malaysia terhadap negara semasa menghoskan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Ke-13, Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Plus Three Ke-7 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN – China Ke-6 pada 6 dan 7 September 2017.

Selain itu, kedua-dua pemimpin menyambut baik hubungan dalam Perkhidmatan Awam yang mana Brunei menjadi tuan rumah Program Pertukaran Pegawai Kanan Perkhdimatan Awam Brunei – Malaysia pada 12 hingga 14 Mei 2017.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia turut menyembahkan ucapan tahniah ke hadapan majlis Kebawah DYMM sempena Sambutan Jubli Emas baginda Menaiki Takhta pada 5 Oktober yang lalu.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan kerjasama dua hala di antara kedua-dua buah negara dan bersetuju untuk mengadakan lagi Rundingan Tahunan Ke-22 di antara Pemimpin-Pemimpin Malaysia dan Negara Brunei Darussalam pada tahun 2018 di Malaysia.