Featured Content, Uncategorized

Perutusan ‘Aidil Fitri 1439H

Assalamualaikuam Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar

Awal kalam, marilah kita panjatkan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus merasai nikmat iman dan Islam sehingga saat ini.

Alhamdulillah, pada tahun ini kita juga diberikan kesempatan untuk menikmati Ramadhan. Semoga Allah SWT memberikan kepada kita peluang lagi untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan Insya-Allah.

Hari ini kita menyambut Hari Raya dengan takbir dan tahmid bagi menandakan kemenangan buat umat Islam.

Sebulan kita menjalankan ibadah puasa. Menahan lapar dan dahaga serta melakukan pelbagai ibadat sebagai latihan untuk kita menundukkan hawa nafsu.

Semua ini mengajar kita erti ketabahan dan kesabaran dalam perjuangan.

Ramadhan juga mengajar kita kemenangan tidak diperolehi dengan mudah. Ia hanya akan hadir buat mereka yang beriman, bertaqwa dan isitiqamah.

Semoga semangat perjuangan di bulan Ramadhan akan terus dihayati dalam perjuangan yang kita tunjangi melalui Parti Pembangunan Bangsa (NDP), iaitu perjuangan untuk menegakkan keadilan dan ehsan yang kita hadirkan melalui pendekatan dakwah ‘amar makruf nahi mungkar’ iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Dikesempatan ini saya juga menyeru agar dikalangan kita warga NDP terus mempereratkan hubungan persaudaraan dengan ikatan kasih sayang kerana Allah SWT kerana ia adalah asas kekuatan dan kejayaan di dalam sebuah organisasi serta menutup segala ruang perpecahan.

Marilah kita ambil kesempatan ini untuk membentuk satu suasana NDP yang lebih ceria, harmoni, bekerjasama dan berlapang dada.

Marilah kita sambut ‘Aidil Fitri dalam lingkungan syariah, saling bermaafan dan ziarah menziarahi bagi memupuk semangat persaudaraan yang sejati.

Tidak dilupakan kita panjatkan doa buat saudara kita di Palestin, Syria, Iraq, Afghanistan, Rohingya dan lain-lain yang terus dihimpit dan dibelenggu dengan peperangan, penderitaan, dan cengkaman musuh Islam.

Semoga Allah SWT sentiasa memberi pertolongan dan kemenangan kepada mereka.

Akhir kalam saya mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga NDP yang dikasihi. Minal ‘Aidin Wal Faizin

Sekian, Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Presiden Parti Pembangunan Bangsa

Sdra Malai Hassan Othman

Leave a comment