Featured Content, Uncategorized

PENGUKUHAN MAQASID SYARIAH PRA SYARAT KEJAYAAN NEGARA

LIMBARUH HIJAU 23 FEBRUARI 2018: TITAH SEMPENA HARI KEBANGSAAN KALI KE 34 menekankan dengan jelas bahawa pra syarat untuk negara mencapai kejayaan yang diberkati ialah dengan memperkukuh MAQASID SYARIAH dalam semua aspek pembangunan bangsa dan negara.

Dalam kata lain setiap perancangan pembangunan mestilah patuh dan menepati lima objektif syariah iaitu: pemeliharaan agama, pemeliharaan jiwa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta.

Dari sudut pandang baginda sultan perancangan-perancangan pembangunan yang tidak patuh dan memesong dari tuntutan maqasid syariah akan hanya mengundang masalah.

hm_ND34

“Di sinilah ramai orang yang silap, tidak faham. Mereka hanya merancang apa yang mereka mahu atau apa yang sedap untuk mereka sahaja tanpa mengambil kira Maha Pencipta”, tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena meraikan 34 tahun negara merdeka.

“Lalu awal atau pun akhir, rancangan-rancangan itu pun dipenuhi oleh masalah atau ada-ada saja cacatnya kerana tiada berkatnya”, tegur baginda dalam titah tersebut.

“Sebagai sebuah negara Islam yang progresif, pengukuhan maqasid syariah adalah pra syarat kepada kejayaan negara. Pengukuhan ini penting sebagai pemangkin ke arah memastikan negara terus menuai kemakmuran dan kesejahteraan”, titah baginda sultan.

Sementara itu dalam titah yang sama baginda sultan juga menekankan pentingnya generasi muda turut sama mengalas hasrat negara untuk membangun dan terus melangkah lebih jauh lagi sebagai sebuah neghara yang merdeka yang maju.

“Negara sekarang memerlukan generasi muda untuk berani tampil menerajui pembangunan”.

“Para belia perlu mengambil peluang untuk meningkatkan keupayaan diri masing-masing melalui program-program yang ditawarkan di dalam dan di luar negara”, titah baginda.

Baginda sultan seterusnya bertitah mencabar belia-belia yang sepatutnya lebih terpanggil untuk menerajui pucuk pimpinan badan-badan sukarela mahu pun syarikat-syarikat.

“Para belia yang biasanya kaya dengan idea-idea baru mesti berani untuk menghadapi pelbagai cabaran”.

“Mereka lah yang diharapkan untuk memberi nafas baru kepada segala usaha pembangunan dalam negara”, titah baginda lagi.

Leave a comment