Featured Content, Uncategorized

HARAPAN AGAR ANGGOTA KABINET BARU LEBIH BERINTEGRITI

hm_CABINET
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menitahkan amanat kepada Jemaah Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri baru di Persidangan Khas di Istana Nurul Iman. Gambar ihsan Jabatan Penerangan

LIMBARUH HIJAU 8 FEBRUARI 2018 : KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM menaruh harapan yang amat tinggi agar pasukan kabinet menteri yang baru terbentuk berikutan satu rombakan kabinet lama akan dapat membawa perubahan-perubahan besar yang positif dalam kerajaan.

“Beta sangat menghendaki untuk melihat pasukan kabinet dan pegawai-pegawai berkenaan akan dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan lebih baik tanpa membawa masalah-masalah yang tidak munasabah dan yang menjejaskan perlaksanaan pentadbiran kerajaan Beta”, titah baginda di Persdiangan Khas yang berlangsung di Istana Nurul Iman kelmarin.

HM_CABINET1
Gambar ihsan Jabatan Penerangan

Kesemua jemaah menteri dan pegawai-pegawai yang baru dilantik hadir di pesidangan khas tersebut untuk mendengarkan amanat baginda sultan yang jelas kecewa dalam banyak hal berhubung pentadbiran lama sehingga mendorong baginda untuk mengambil keputusan membuat rombakan kabinet menteri lebih awal dari tempoh tamat perkhidmatan mereka yang sepatutnya berakhir pada tahun 2020.

Dalam titah tersebut baginda telah membuat teguran dan kritikan terhadap banyak perkara yang tidak menyenangkan baginda terutama yang menyangkut integriti, kewibawaan dan jatidiri dikalangan elit-elit pentadbir sebelumnya.

Baginda juga mengariskan harapan tinggi baginda keatas Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai yang baru dilantik serta menekankan pendirian tegas baginda tentang kedaulatan dan survivaliti negara sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka dan berdaulat.

FOKUS KEPADA PERKARA-PERKARA BERFAEDAH BUKAN MENCIPTA-CIPTA MASALAH

Titah baginda,”Menteri-menteri dan pegawai-pegawai yang diberi kuasa sepatutnya benar-benar fokus kepada perkara-perkara yang berfaedah sahaja bukannya mencipta-cipta masalah untuk kepentingan peribadi atau kepentingan mana-mana golongan”.

“Beta tahu banyak isu atau perkara yang senghaja diada-adakan yang bertujuan untuk menarik perhatian atau publisiti dengan bertujuan supaya mereka dianggap pandai membuat kerja tetapi akibatnya tidak membawa apa-apa manfaat melainkan kerajaan pula yang terpaksa menanggung kerugian bila mana rancangan yang baik itu jadi tertunda atau tergendala”.

hm_CABINET2
Gambar ihsan Jabatan Penerangan

“Ada juga yang telah dipertanggungjawabkan itu mahu supaya rancangan-rancangan yang berkenaan dibatalkan sahaja demi kononnya untuk melayani kehendak-kehendak orang luar atau antarabangsa”.

Baginda seterusnya bertitah,”demikianlah kita ditakut-takutkan dengan momok globalisasi atau antarabangsa dengan alasan-alasan yang diimpot yang tidak relevan dengan kepentingan dan keperluan negara”.

Menurut baginda sebagai pemimpin, kecenderungan menggunakan alasan-alasan yang diimpot adalah satu tanda kurang wibawa atau miskin idea.

“Kita tidak dapat mengharapkan sesuatu yang terbaik daripada pemimpin-pemimpin yang seperti ini. Kita perlu ingat tidak semua yang kita kutip daripada luar itu baik malah ilmu pengetahuan, budaya, pemikiran dan aliran juga tidak semuanya boleh kita ambil dan pakai bulat-bulat walaupun orang lain sudah memakainya”, tegas baginda.

Baginda seterusnya menegur bahawa dalam perkara konsep dan dasar, janganlah terus-terus terpesona mengikut orang lain tetapi lihatlah dahulu kedalam diri siapa kita sambil mengenalpasti apa keperluan kita yang sebenarnya.

“Inilah cara yang lebih baik dan bijaksana untuk dilakukan bukan dengan mengambil dan memakai apa saja yang dilihat atau didengar daripada jauh tanpa perhitungan yang mendalam”, titah baginda.

MEMELIHARA, MENJAGA DAN MEMAJUKAN KEDAULATAN, KEMERDEKAAN BANGSA DAN NEGARA

Dalam titah tersebut baginda seterusnya secara tegas menekankan pendirian baginda tentang makna kemerdekaan, jatidiri bangsa merdeka dan keberlangsungan Negara Brunei sebagai sebuah bangsa dan negara merdeka serta berdaulat.

“Kita adalah bangsa dan negara merdeka. Kita dituntut untuk berfikir dan bertindak sebagai bangsa dan negara yang merdeka juga. Kemerdekaan akan kurang bererti dengan hanya membanggakan sahaja tetapi akan lebih bererti bila mana kita pandai mengisinya”, titah baginda.

“Dimanakah mengisi kemerdekaan itu dan oleh siapa? Tentu saja tidak lain oleh kita sendiri. Di sini ada Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Setiausaha-Setiausaha Tetap, mereka inilah barisan paling hadapan yang diamanahkan untuk mengisi kemerdekaan supaya kemerdekaan kita itu benar-benar bermakna”, tegas baginda lagi.

Menurut baginda sultan cara mengisi tentu sahaja dengan kerja keras, bekerja dengan penuh tekun dan dedikasi.

“Jangan berpaling daripada tugas, bertugaslah untuk negara bukan untuk diri sendiri”, titah baginda sambil menambah,” sesiapa yang berkaitan dengan ekonomi misalnya, maka binalah ekonomi”.

“Carilah jalan untuk pertumbuhannya bukan hanya setakat tahu menyekat atau melimit sahaja tetapi pastikan ia juga berkembang. Kita mesti cari jalan untuk ia berkembang maju”, titah baginda mengingatkan jemaah Menteri kabinet dan pegawai-pegawai yang baru dilantik.

hm_CABINET4
Gambar ihsan Jabatan Penerangan

KEMAJUAN SEKTOR PEMBANGUNAN

Titah baginda lagi, “orang pembangunan pula, tugasnya ialah membangun. Maka sempurnakanlah kerja-kerja membangun itu. Jangan hanya tahu membuat longkang besar tetapi jalan raya ditakung air, kerana air tersekat tidak dapat mengalir ke longkang. Pelajari ini apa sebabnya dan di mana salahnya. Pihak berkenaan perlu mencari sebab itu dan kemudian mengatasinya”.

KEMAJUAN SEKTOR PERTANIAN

Menyentuh bidang pertanian baginda sultan menekankan pentingnya bidang tersebut diberikan tumpuan sewajarnya memandangkan ianya penentu kepada keberlangsungan Negara Brunei sebagai bangsa dan negara yang merdeka.

Mengenai pertanian pula, titah baginda, apa yang mustahak adalah kerajinan, rajin berusaha dan merancang.

“Oleh itu rancanglah betul-betul supaya menghasilkan produk-produk pertanian yang diperlukan oleh negara. Berilah perhatian dan keutamaan kepada sektor pertanian. Oleh kerana sektor inilah yang akan menentukan kelangsungan kita sebagai bangsa dan negara yang merdeka”.

“Perluaskanlah tanaman padi oleh kerana kita sangat memerlukan bekalan beras yang merupakan bahan makanan asasi kita supaya kita tidak semata-mata bergantung kepada pengimportan beras dari luar negara”.

Dalam perkara untuk menghasilkan pengeluaran bekalan beras supaya mencapai target yang dihasratkan, baginda bertitah agar janganlah hanya mengadakan target.

“Apa yang diperlukan ialah supaya bersungguh-sungguh untuk memastikan target itu dicapai”.

Baginda seterusnya bertitah menegur, “kalau sudah ada rancangan, sayugia dielakkan dari dikacau oleh pihak-pihak opportunist seperti misalnya, Kerajaan merancang bertanam padi tetapi yang mengambil kesempatan ialah individu-individu tertentu termasuk pemegang jawatan tinggi atau bekas pemegang jawatan tinggi didalam Kerajaan yang masih lagi menikmati pendapatan lumayan daripada kerajaan. Mereka ini ada yang menghasilkan padi sampai bertan-tan banyaknya tetapi untuk siapa, hanya untuk diri sendiri bukan untuk negara. Perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku”.

KEMAJUAN SEKTOR INDUSTRI DAN TENAGA

Di bidang sektor industri dan tenaga, baginda bertitah meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkembangan yang sedia ada.

“Tugas memperkasa sektor industri dan tenaga pula sangatlah perlu diberi penumpuan. Beta melihat apa yang ada setakat ini belumlah memuaskan”.

“Kita perlu lebih aktif dan kemas. Dalam menangani perusahaan belumlah memadai setakat menyertakan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana ke dalam ekspo-ekspo termasuk membawa mereka ke luar negeri untuk mempamer produk-produk mereka tetapi hasil dan kesannya selepas itu tidak diketahui”, titah baginda.

Di samping galakan berupa promosi, titah baginda, pengusaha-pengusaha juga sangat perlu dibantu untuk perkembangan mereka.

“Bantuan lebih mustahak di sana ialah berupa bimbingan dan tunjuk ajar bagaimana memulakan dan kemudian menjalankan perusahaan itu sehingga berjaya. Ini mustahak kerana bukan semua pengusaha memiliki ilmu keusahawanan”.

Sehingga kini, titah baginda, Beta belum melihat lagi inisiatif seperti yang dilakukan di tempat lain, orang sudah membuatnya dengan berbagai cara.

Isu pengurusan tenaga manusia, pengambilan pekerja asing dan pengganguran terutama yang turut melibatkan ramai graduan-graduan juga turut ditegur oleh baginda.

“Demikian juga dengan menangani tenaga manusia. Tenaga itu ada dua. Satu, biasa dan satu lagi professional”.

“Yang biasa itu sepatutnya dilatih dan diberi cukup-cukup pengalaman untuk mereka meningkat. Tetapi ini tidak, yang pandai pun ialah mengambil ramai-ramai pekerja asing sedang anak tempatan terus menjadi pekerja biasa dan sampai berpuluh tahun lamanya setakat pengarah urusan pun tidak muncul dari kalangan kita”, titah baginda.

“Ini belum lagi diadakan cara kita menangani penggangguran. Apa caranya? Cara biasa ialah menyediakan jawatan kosong”.

“Tetapi dalam era di mana biasa berlaku kebanjiran graduan, maka setakat mengharapkan jawatan kosong dalam Kerajaan sahaja adalah tidak lagi memadai”.

“Maka kerana itu sangatlah perlu ada cara lain. Ada banyak cara lain antaranya mula-mula sekali tanamkan sikap tidak semata-mata bergantung kepada Kerajaan. Tanamkan semangat berdikari, semangat usahawan, semangat peniaga, semangat peladang dan petani dan bimbinglah mereka ke arah itu dan beri galakan. Adakah ini juga sudah dibuat?’, titah baginda.

ISU ALAM SEKITAR DAN KEBERSIHAN

Isu alam sekitar dan kebersihan juga tidak terlepas dari pengamatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan.

“Bahagian dalam negeri dan kesihatan serta semua agensi yang berkaitan pula, bersihkanlah Brunei ini dari segala sampah dan kotoran. Longkang, sungai dan kawasan pasar khasnya bersihkan segera bukan bersih kerana adanya kempen sebulan sekali, tetapi bersih untuk sepanjang masa. Tanganilah ia secara bersepadu”, titah baginda.

KEMAJUAN BIDANG PENDIDIKAN DAN UGAMA

Baginda sultan dalam titah yang sama juga turut menaruh harapan agar perkembangan di bidang Pendidikan terutama Pendidikan Ugama akan lebih maju kehadapan.

“Bidang Pendidikan dan Ugama pula teruslah kehadapan. Beta mahu pendidikan umum dan ugama terus meningkat maju. Pendidikan adalah satu elemen yang sentiasa hidup bukan statik. Ia berkembang dari masa ke semasa, janganlah dijadikan dua pendidikan ini lemah terutama pendidikan ugama”.

“Pastikanlah minat masyarakat kepada pendidikan ugama tetap kuat bukan timbul tenggelam. Kita tidak mahu ada penuntut-penuntut setakat sekerat jalan, tiba-tiba beralih menukar haluan, asalnya belajar di sekolah Arab tetapi belum sampai ke hujung, mereka tiba-tiba lari ke sekolah umum”.

“Mengapa ini boleh terjadi dan apakah akan jadi kepada pendidikan ugama. Jika demikian ini keadaannya, mengapa minat awal kepada pendidikan ugama itu tiba-tiba sahaja berkubur?”.

Baginda berpendapat puncanya ialah salah pengurusan atau pentadbiran.

“Kita kurang peka dengan kejadian yang malang seperti ini. Kita tidak ternampak ada usaha mengatasinya. Apakah ini yang kita memang mahukan supaya Brunei hakis dan tandus ilmu ugama?”.

MEMBANGUN BANGSA DAN NEGARA ATAS LANDASAN M.I.B

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan mengakhiri titah baginda denga mengingatkan semua Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri dan elit-elit pentadbir yang lain agar meluruskan niat dan tujuan masing-masing, jangan menyimpang dari landasan Melayu Islam Beraja.

“Akhirnya, kepada semua termasuk pihak perhubungan, pelancongan, belia dan sukan serta luar negeri, luruskanlah tujuan masing-masing. Jangan bengkok-bengkok”.

“Tidak ada gunanya memilih jalan lain dari jalan kita yang sedia ada. Jalan kita ini sudah cukup bagus, kalau ia diikut, Insya Allah kita selamat”.

“Apakah jalan yang unik lagi hebat itu? Iaitu M.I.B. M.I.B. adalah pakaian Brunei. Kita memakainya sejak lebih dari enam ratus tahun lagi. Jadi mengapa didalam zaman yang dinamakan zaman moden ini ia mahu dipertikaikan? Yakinlah barangsiapa yang mempertikaikan M.I.B., mereka itu bukan purih Brunei atau tidak berjiwa Brunei”, tegas baginda sultan.

Baginda seterusnya mengingatkan untuk menjadi pemimpin, keperluan untuk menguatkan amalan konsep M.I.B sangatlah mustahak.

“Jangan sekali-kali cuba menganut ideologi atau sistem lain dari ideologi dan sistem M.I.B. Kalau mahu jadi pemimpin yang baik, maka peganglah kuat-kuat prinsip ini dan juga jangan jadi pemimpin mabuk kuasa melakukan apa saja untuk kepentingan diri sendiri, lebih daripada kepentingan untuk negara”, tegur baginda lagi.

Menurut baginda di antara tanda-tanda pemimpin mabuk kuasa itu ialah licik mengatur rancangan atau strategi bagi kepentingan sendiri seperti mengamalkan kronisme dan nepotisme untuk mengkukuhkan kedudukan dan kuasa.

“Beta yakin perbuatan seperti ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan melainkan keburukan belaka kepada negara dan tidaklah boleh dibiarkan terus berlaku”.

“Brunei mesti tetap Brunei. Environment-nya yang cantik mesti dikekalkan. Environment Brunei ialah kebajikan. Kita tidak akan membiarkannya dicemari oleh apa jua bentuk keburukan termasuk ketidak-jujuran dan kepalsuan. Brunei mesti bersih daripada semua gejala negatif”, tegas baginda.

Leave a comment