Featured Content, Uncategorized

ROMBAKAN KABINET MEMBAWA HARAPAN BARU

LIMBARUH HIJAU 9 FEBRUARI 2018: ROMBAKAN KABINET MENTERI yang terkini dibuat merupakan rombakan kali ketiga sejak 2005 dan yang sangat tidak dijangkakan memandangkan masih ada kurang lebih dua setengah tahun lagi sebelum tempoh tamat perkhidmatan Menteri-Menteri Kabinet bagi tahun 2015 – 2020.

Langkah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merombak Kabinet Menteri lebih awal dari yang dijadualkan dan membentuk pasukan jemaah Menteri dan Timbalan Menteri dengan menggandingkan pemuka lama dan baru juga membuat ramai hairan dan kagum.

pehin_isaSeramai tujuh orang Menteri dan empat Timbalan Menteri ditamatkan perkhidmatan. Jawatan Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia dibukakan semula dan Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim dititahkan untuk memangku semula jawatan tersebut yang telah ditiadakan sejak 2005. Pehin Dato Haji Awang Isa juga dilantik selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Perkembangan signifikan yang lain ialah perlantikan dua orang lama, arif dan berpengalaman luas dalam bidang industri minyak dan gas.

Page-2-datomatsuny_310118

Mereka ialah Dato Paduka Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussien sebagai Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian dan Dato Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw sebagai Timbalan Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian.

Dato Paduka Mat Suny pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan pada tahun 2005 dan sebelumnya pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Urusan Brunei Shell, Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat Brunei Shell dan Pengarah P_30012018CP_Dato_MatsatejoUrusan Brunei Shell Marketing manakala Dato Paduka Awang Haji Matstejo pernah memegang jawatan selaku Pengarah Urusan BLNG dan Pengarah Urusan Petroleum Brunei.

Turut mengkagumkan ialah titah perkenan baginda sultan atas perlantikan dua wanita selaku Timbalan Menteri. Mereka ialah Datin Dayang Hajah Elinda binti C.A. Mohamed sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datin Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

P_30012018CP_Datin001R-1-e1517334189960

Rombakan Kabinet yang mengejutkan ini juga telah mengundang banyak spekulasi.

Apa pun spekulasinya, yang penting langkah tersebut menonjolkan lagi kewibawaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan sebagai seorang raja dan ulil amri yang bijaksana, konsisten dan fokus dalam kepimpinan banginda yang bercirikan keadilan dan ihsan.

P_30012018CP_Datin001R-e1517334044380

Ia juga menggambarkan pendirian teguh baginda terhadap falsafah Melayu Islam Beraja sebagai prinsip dan nilai murni yang wajib dipertahankan dalam membangun negara dan bangsa ke arah kejayaan dan kecemerlangan.

Seterusnya apa yang terserlah ialah kesungguhan politik baginda dalam memastikan keberlangsungan, keselamatan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara bangsa Melayu Islam Beraja yang bermaruah, merdeka dan berdaulat agar sentiasa dipertahankan dan terpelihara.

Namun demikian, dalam mengemudi bahtera negara bangsa yang sentiasa terdedah kepada ombak badai samudera globalisasi, baginda juga menyedari bahawa kejayaan tidak akan tercapai tanpa sokongan dan bantuan jemaah Menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang jujur, amanah, berwibawa dan berintegriti.

Atas kesedaran inilah baginda, dalam titah-titah perlantikan Menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan tidak pernah kendur-kendur menekankan pentingnya sifat jujur dan amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

 

ROMBAKAN KABINET 2005 – IKRAR YANG BETUL JANGAN HIPOKRIT

Dalam rombakan Kabinet Menteri pada tahun 2005 contohnya, baginda dalam titah mengingatkan Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri yang baru dilantik agar dapat melaksanakan tugas-tugas, kuasa-kuasa dan kewajipan-kewajipan yang diamanahkan kepada mereka dengan penuh ikhlas, jujur dan amanah.

Baginda menyeru mereka agar teguh memegang ikrar dan konsep taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja. Dengan tegas baginda mengingatkan agar segala ikrar dan pertuturan hendaklah betul dan benar, jangan ia disulam dengan kepura-puraan walaupun sedikit.

Menurut baginda tujuan sebenar ialah untuk mencari keselamatan, di mana keselamatan itu berpunca atau bersumber dari keredhaan Allah jua dan keredhaan Allah akan datang apabila orang-orang yang diberi jawatan atau kuasa itu menjalankannya dengan lurus dan adil.

 

ROMBAKAN KABINET 2010 – TEGAKKAN KEADILAN DENGAN JUJUR DAN AMANAH

Pada 2010 baginda sekali lagi menekankan bahawa lantikan-lantikan yang dibuat adalah amanah dan jika ia dapat dijalankan maka kitalah orang yang berbahagia, sebaliknya kalau kita gagal, maka penyesalan jua akan menunggu kita.

Baginda sultan menekankan bahawa lantikan bererti tugas, kewajipan dan kuasa yang wajib digunakan sejujurnya dengan penuh taat lagi setia.

Baginda seterusnya menyeru jemaah Menteri dan pasukan Timbalan Menteri untuk membantu raja dalam menegakkan keadilan.

Titah baginda, “Janganlah ada yang ingin mencipta haluan sendiri-sendiri untuk kepentingan yang terhad, tetapi bantulah raja untuk mencapai wawasan negara dengan keadilan”.

Kita buktikan bahawa keadilan tidak mati di Brunei, tetapi ia hidup dan malah subur dari apa yang dijaja di mana-mana, titah baginda sultan.

 

ROMBAKAN KABINET 2015 – SYUKURI NIKMAT DENGAN MELAKSANAKAN KEADILAN

Isu keadilan sekali lagi diberikan perhatian dalam titah rombakan Kabinet pada 2015.

“Salah satu dari ciri bersyukur itu ialah dengan melaksanakan keadilan. Kerana keadilan adalah segala-galanya. Tanpa keadilan, semua kebajikan akan jauh atau menarik diri daripada kita”, titah baginda.

Oleh itu, titah baginda, satu peringatan perlu disebut di sini, bahawa sesiapa jua yang dilantik atau dipilih menjadi pemimpin, mereka itu adalah berkewajipan untuk menjalankan keadilan.

“Tempat tumpahnya keadilan ialah ke atas rakyat, bukan kepada diri sendiri. Adapun untuk kepentingan diri sendiri, itu bukanlah keadilan tetapi kezaliman”, tegas baginda sultan.

Baginda juga menekankan pentingnya kesatuan dan konsep berkerja berpasukan

Perlu difahami, titah baginda, bahawa kabinet adalah ibarat sebuah perahu dan para manteri pula adalah pekayuh-pekayuhnya. Sebagai pekayuh, mereka adalah satu pasukan dan berperanan untuk pasukan, bukan untuk diri masing-masing.

“Kerana itu, walaupun berlainan kementerian, namun mereka tetap di dalam satu pasukan yang mempunyai satu matlamat yang sama iaitu untuk memakmurkan negara”.

“Sebagai sifat satu pasukan, mereka diperlukan agar turut menyumbang atau sekurang-kurangnya menyokong apa-apa jua gagasan atau rancangan yang baik bagi sesebuah kementerian itu semata-mata bagi kebaikan negara”.

“Beta berharap, barisan pemimpin akan datang, tidaklah akan mengabaikan etika berpasukan serta juga dikehendaki supaya bijak membuat perhitungan atau tafsiran mengenai sesuatu perkara yang ada kaitan dengan negara dan kerajaan”, titah baginda.

ROMBAKAN KABINET 2018 – TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB DENGAN LEBIH BAIK JANGAN CIPTA MASALAH

Titah baginda sultan di Persidangan Khas baru-baru ini jelas menggambarkan kekecewaan baginda dengan prestasi Pasukan Menteri Kabinet yang dibentuk pada tahun 2015.

Untuk itu, baginda menaruh harapan tinggi agar pasukan kabinet dan pegawai-pegawai yang baru dibentuk akan dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan lebih baik tanpa membawa masalah-masalah yang tidak munasabah dan yang menjejaskan perlaksanaan pentadbiran kerajaan baginda.

Antara perkara yang jelas telah menghampakan baginda ialah kedapatan di kalangan menteri-menteri dan pegawai-pegawai yang diberi kuasa tidak benar-benar fokus kepada perkara-perkara yang berfaedah malahan pandai mencipta-cipta masalah untuk kepentingan peribadi atau kepentingan beberapa golongan yang berkepentingan.

Baginda jua mendapati…“banyak isu atau perkara yang senghaja diada-adakan yang bertujuan untuk menarik perhatian atau publisiti dengan bertujuan supaya mereka dianggap pandai membuat kerja tetapi akibatnya tidak membawa apa-apa manfaat melainkan kerajaan pula yang terpaksa menanggung kerugian bila mana rancangan yang baik itu jadi tertunda atau tergendala”.

Sampai juga kepengetahuan baginda sultan bahawa ada juga yang telah dipertanggungjawabkan itu mahu supaya rancangan-rancangan yang berkenaan dibatalkan sahaja demi kononnya untuk melayani kehendak-kehendak orang luar atau antarabangsa.

Sehubungan dengan itu KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan sangat menyesali perbuatan untuk menakut-takutkan dengan momok globalisasi atau antarabangsa dengan alasan-alasan yang diimpot yang tidak relevan dengan kepentingan dan keperluan negara.

Baginda melabel mereka yang cenderung menggunakan alasan-alasan yang diimpot sebagai seorang pemimpin yang kurang wibawa dan miskin idea.

“Kita tidak dapat mengharapkan sesuatu yang terbaik daripada pemimpin-pemimpin yang seperti ini”, tegas baginda.

Semangat patriotisme yang tidak mendalam di kalangan elit-elit pentadbir juga semacam membimbangkan baginda sultan lantas membuat baginda rasa terpanggil untuk bercakap tentang makna merdeka dan apa yang dimaksudkan jatidiri dan jiwa bangsa yang merdeka.

“Kita adalah bangsa dan negara merdeka. Kita dituntut untuk berfikir dan bertindak sebagai bangsa dan negara yang merdeka juga. Kemerdekaan akan kurang bererti dengan hanya membanggakan sahaja tetapi akan lebih bererti bila mana kita pandai mengisinya. Di manakah mengisi kemerdekaan itu dan oleh siapa? Tentu saja tidak lain oleh kita sendiri”.

“Di sini ada Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Setiausaha-Setiausaha Tetap, mereka inilah barisan paling hadapan yang diamanahkan untuk mengisi kemerdekaan supaya kemerdekaan kita itu benar-benar bermakna”, titah baginda.

Baginda bertitah, “Cara mengisi tentu sahaja dengan kerja keras, bekerja dengan penuh tekun dan dedikasi. Jangan berpaling daripada tugas, bertugaslah untuk negara bukan untuk diri sendiri”.

Dalam hal mengisi kemerdekaan ini, baginda menasihatkan menteri-menteri kabinet dan pasukan elit pentadir yang lain supaya berjalan atas landasan yang betul bukan jalan bengkok-bengkok.

“Jalan kita ini sudah cukup bagus, kalau ia diikut, Insya Allah kita selamat. Apakah jalan yang unik lagi hebat itu? Iaitu M.I.B. M.I.B. adalah pakaian Brunei. Kita memakainya sejak lebih dari enam ratus tahun lagi. Jadi mengapa di dalam zaman yang dinamakan zaman moden ini ia mahu dipertikaikan?”

Bagi baginda barangsiapa yang mempertikaikan M.I.B., mereka itu bukan purih Brunei atau tidak berjiwa Brunei.

Sehubungan dengan itu baginda menegaskan, untuk jadi pemimpin perlu menguatkan amalan konsep M.I.B bukannya mencuba-cuba menganut ideologi atau sistem lain dari ideologi dan sistem M.I.B.

“Kalau mahu jadi pemimpin yang baik, maka peganglah kuat-kuat prinsip ini dan juga jangan jadi pemimpin mabuk kuasa melakukan apa saja untuk kepentingan diri sendiri, lebih daripada kepentingan untuk negara”, tegas baginda.

Menurut baginda sultan di antara tanda-tanda pemimpin mabuk kuasa itu ialah licik mengatur rancangan atau strategi bagi kepentingan sendiri seperti mengamalkan kronisme dan nepotisme untuk mengukuhkan kedudukan dan kuasa.

Baginda yakin perbuatan seperti ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan melainkan keburukan belaka kepada negara dan tidaklah boleh dibiarkan terus berlaku.

Baginda juga bertegas mempertahankan “Brunei mesti tetap Brunei”.

Brunei yang dimaksudkan baginda sultan ialah:

• Brunei yang environment-nya cantik
• Brunei negara kebajikan.

Semacam satu amaran KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan bertitah,”Kita tidak akan membiarkannya dicemari oleh apa jua bentuk keburukan termasuk ketidak-jujuran dan kepalsuan. Brunei mesti bersih daripada semua gejala negatif”.

Semoga pasukan Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri dan elit-elit pentadbir yang baharu berpegang teguh dengan amanat raja yang dikasihi agar baginda tidak dikecewakan lagi.

Seluruh kepimpinan dan anggota Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dengan ini menjunjung kasih ke hadapan majlis KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dengan merafakkan do’a ke hadrat Allah Subhanallah Ta’ala agar baginda terus diberikan ketabahan, taufik dan hidayah, kekal karar memerintah dan membimbing Negara Brunei Darussalam dan rakyat ke arah kejayaan dan kecemerlangan dengan negara kekal sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat, makmur serta sentiasa mendapat keampunan Allah (Baldatun Thayyibatu Wa Rabbun Ghaffur).

Seluruh kepimpinan dan anggota Parti Pembangunan juga dengan ini memanjatkan do’a ke hadrat Allah Subhanallah Ta’ala agar barisan kepimpinan baharu ini juga akan dirahmati dengan kesungguhan dan keikhlasan membantu raja dan ulil amri dalam melaksanakan amanah Allah untuk memakmurkan bumi bertuah ini dengan keadilan dan berehsan.

NDP sebagai sebuah pertubuhan politik yang berdaftar akan terus berusaha menyokong dan membantu Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan dalam mengekalkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu, Islam, Beraja dan demokratik.

NDP, InSyaAllah akan terus menunaikan tanggungjawab untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang aman dan makmur serta mendapat keampunan Allah SWT (Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafuur).

NDP sebagai rakan strategik kepada Kerajaan dan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan terus mendukung prinsip keadilan dan ihsan (Al ‘Adli Wal Ihsan) yang menjadi amalan baginda sultan, InSyaAllah.

Leave a comment